Thursday, December 3, 2009
Exora ke Thailand
Posted by wak.jaman at 8:07 PMBANGKOK, 1 Dis (Bernama) — Proton Holdings Bhd akan mengeksport kereta terlarisnya, Exora, ke Australia dan Timur Tengah pada tahun depan dan melancarkan model pertamanya di India pada 2011 serta menyasarkan untuk mengeksport 50 peratus daripada keluaran keselurahannya di dalam tempoh tiga tahun.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata Proton telah mengeksport kira-kira 24 peratus atau 26,000 kereta di dalam tahun kewangan 2009/2010 dan berharap menjual lebih 40,000 pada tahun depan.
“Ekonomi sedang pulih dan tanda-tanda menunjukkan kami akan mencapai agihan eksport 50 peratus dan 50 peratus bagi pasaran domestik di dalam tempoh tiga tahun,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas melancarkan Exora di Ekspo Permotoran Antarabangsa Thailand di sini Selasa.
Pada tahun kewangan 2008-2009, pengeluar kereta nasional itu telah menjual 108,405 kereta Proton di dalam negara dan hanya mengeksport 18,426 unit.
Katanya Exora, model sulung kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton, telah menerima 25,000 tempahan sejak pelancarannya di Malaysia pada April lepas dan 1,500 di Indonesia manakala jualan keseluruhan di Thailand dijangka sekitar 150 unit sebulan.
Ketika ditanya sama ada beliau berkeyakinan kejayaan Exora di Thailand kerana pasaran MPVnya hanya sekitar dua peratus, Syed Zainal berkata keadaan yang sama wujud di Malaysia empat tahun lepas tetapi trend itu telah berubah dan lebih ramai orang berpindah ke segmen itu untuk mendapatkan nilai bagi wang dan mengikut perubahan hidup.
Sejak memasuki pasaran di sini yang kompetitif dan yang didominasi pengeluar Jepun, Proton dan pengedar Thainya, Phranakorn Auto Sales, telah menjual lebih 7,000 kereta, dengan model utamanya ialah Savvy.
Pada tahun depan, Syed Zainal berkata Proton merancang melancarkan Exora di Australia, Mesir, Syria, Oman, Qatar dan Arab Saudi selepas mengeksportnya ke Indonesia, Brunei dan Singapura sebelum itu.
“Untuk menampung permintaan yang tinggi, kami merancang untuk melakukan pengeluaran dua syif bagi menggandakan pengeluaran dari 2,800 unit sebulan,” katanya.
Mengenai India, yang disifatkannya sebagai pasaran strategik dan penting, Syed Zainal berkata Proton dijangka mengumumkan rakan kongsi tempatannya pada awal tahun depan dan kereta pertamanya akan dilancarkan dalam tempoh setahun.
Untuk kekal kompetitif, Syed Zainal berkata Proton akan menambah baik modelnya dengan kereta baharu di dalam tempoh yang singkat kerana kitaran hayat model semasa pengeluar utama ialah empat tahun, yang tidak seperti 10 hingga 12 tahun sebelum ini.
“Satu model bagi 10 tahun tidak boleh diterima lagi. Kami sedang mengusahakan model seperti Perdana dan Waja … usaha sedang dilakukan dan kami berharap memuktamadkannya tidak lama lagi,” katanya.
BERIKAN KOMEN ANDA DISINI
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=3258#69156
– BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment