Monday, November 30, 2009
Penyanyi 'Janji Manismu' menang saman EMI
Posted by wak.jaman at 4:29 PMSetelah 10 tahun, penyanyi Aishah hari ini akhirnya berjaya mendapatkan penghakiman dari Mahkamah Tinggi terhadap syarikat EMI (Malaysia) Sdn Bhd yang disamannya kerana memungkiri perjanjian rakaman album pada 1996.
Hakim Datuk Tee Ah Sing memerintahkan syarikat rakaman itu membayar Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, ganti rugi am, yang jumlahnya akan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, serta ganti rugi nominal sebanyak RM100.
"Bagaimanapun tuntutan ganti rugi khas ditolak mahkamah atas alasan Aishah gagal mengemukakan bukti terhadap tuntutan tersebut," kata peguam Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Aishah, ketika ditemui media di luar mahkamah.
Peguam itu juga memberitahu tuntutan balas EMI bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM93,071 daripada penyanyi tersebut turut ditolak dengan kos oleh mahkamah.
Penghakiman bertulis Hakim Tee itu dibacakan Timbalan Pendaftar Hilmiah Yusof dalam kamarnya pagi tadi.
Aishah, 44, penyanyi yang popular dengan lagu 'Janji Manismu' itu telah memfailkan saman terhadap EMI pada 6 Dis 1999 bagi menuntut ganti rugi RM406,000, termasuk ganti rugi am, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa EMI telah memungkiri kontrak yang dibuat antara kedua-dua pihak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment