Nasyid rock!
Oleh Shanon Shah
NASYID rock? Itulah label yang digunakan oleh kumpulan Algebra untuk menerangkan konsep muzik mereka. Mengambil nama sempena cabang ilmu hisab yang diterokai oleh sarjana Islam, al-Khawarizmi, Algebra mengaku orang ramai mungkin merasa janggal jika melihat mereka buat pertama kali.
Siap dengan berserban, vokalis Ahnaf Jamal mengaku, "Kami tak segan dengan imej yang ditonjolkan. Lagipun apa yang kami mahu tunjuk ialah Algebra adalah kumpulan band yang membawakan lagu-lagu dakwah."
Algebra (Sumber: algebra.nasyeed.my)
Lima remaja anggota Algebra berhasrat menyampaikan mesej dakwah melalui muzik beriringan gitar, drum, dan keyboard. Kemunculan Algebra sekaligus memeriahkan arena nasyid tanahair, yang sudah biasa dengan artis hebat seperti Raihan, Rabbani, Yasin dan Waheeda, yang rata-ratanya berminat bereksperimen dengan genre nasyid.
Saya tertarik dengan pelbagai aspek tentang kumpulan Algebra.
Pertamanya, mereka bermain instrumen sendiri. Ini bukannya asing bagi industri muzik tanahair, tetapi merupakan satu ciri yang unik untuk kumpulan nasyid. Ada pendapat di kalangan ulama Islam bahawa bermain muzik adalah haram sama sekali, kerana ia dikaitkan dengan pekerjaan yang melalaikan umat. Instrumen muzik seperti gitar, piano, dan biola adalah haram dimainkan sama sekali.
Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa bermain dan mendengar muzik sebenarnya halal asalkan ia tidak membawa mudarat kepada insan dan umat. Oleh itu, pendapat ulama golongan ini menegaskan di dalam keadaan tertentu, muzik boleh diharamkan, tetapi ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Jadi, jelasnya kumpulan Algebra sedang mengambil satu pendirian yang penting tentang mesej mereka dan cara penyampaiannya.
Saya juga kagum kerana Algebra membawa beberapa buah lagu hasil pena bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Lagu Asri juga dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa, tetapi baru-baru ini salah sebuah lagu tersebut, Aku Bukan Musuh Harta, digam oleh pihak RTM. RTM menegaskan bahawa lagu tersebut bukannya diharamkan, tetapi dianggap tidak sesuai untuk diputarkan di udara. Pelik tetapi benar.
Dan akhir sekali, saya tertarik dengan konsep nasyid rock itu sendiri. Ya, saya pernah menulis tentang fenomena hip-hop versi Islam, tetapi saya mulanya menganggap budaya tersebut hanya tertumpu kepada komuniti Islam di Barat. Akan tetapi, inilah kali pertama saya sendiri mendengar tentang kumpulan muzik tempatan yang terang-terang melabelkan muzik mereka nasyid rock.
Saya masih ingat lagi apabila kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh PAS mengumumkan pengharaman sebarang konsert pop, rock, reggae, dan dangdut. Kerajaan PAS mendakwa muzik tersebut boleh membawa kepada keruntuhan akhlak. Bagi saya, mungkin ulama atau ahli politik PAS yang membuat kenyataan sedemikian sebenarnya tidak mendengar atau mengkaji muzik.
Jadi saya teringin untuk melihat apa yang akan terjadi jika kumpulan Algebra mahu membuat persembahan untuk ulama PAS. Adakah Algebra akan diharamkan kerana membawa muzik rock, atau dialu-alukan kerana menyampaikan mesej dakwah?
download lagu-lagu nasyid UNLIMITED !
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment